Wednesday, 23 January 2013

Minuman herba stevia

Oleh Mohd Sabran Md Sani




MENGAMBIL keputusan meletakkan jawatan sebagai kakitangan awam bukan mudah, ibarat memperjudikan hidup pada masa depan.
Namun, kerana minat meneroka bidang perniagaan, seorang bekas kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia memberanikan diri menubuhkan Syarikat Suco Industries (M) Sdn Bhd.
Dengan modal kira-kira RM600,000 yang dipinjam daripada ahli keluarga, operasi syarikat berkembang pesat dan kini menumpukan kepada pengeluaran air berkarbonat menggunakan herba stevia.

Pengurus Eksekutifnya, Ridzuan Mustapa, berkata khasiat gula stevia yang

tidak mempunyai kalori menyuntik minatnya mengkomersialkan herba itu dalam minuman karbonat.
“Penggunaan stevia membolehkan mereka yang mempunyai penyakit diabetis meminum air berkarbonat ini kerana tidak mengandungi kalori,” katanya.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, syarikatnya kini menjalinkan projek usaha sama dengan Syarikat Agro Stevia untuk mengusahakan tanaman berkenaan
di ladang milik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang.

“Dengan keluasan tanah sekitar 60.7 hektar, syarikat Agro Stevia menanam pokok itu dan hasilnya dijual semula kepada syarikat kami.

“Bekalan stevia yang mencukupi membolehkan syarikat mengeluarkan kira-kira 5,000 botol sejam,” katanya yang memiliki 10 anak dan 30 cucu.

Naib Presiden Gabungan Pengusaha Makanan Halal Malaysia (GPMM) itu berkata, syarikatnya kini dalam proses mendapatkan pensijilan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP).

Katanya, penyertaannya dalam beberapa kursus anjuran Jabatan Pertanian dan Mara memberi semangat untuk menceburi perniagaan IKS.

“Melihat permintaan menggalakkan, saya mengambil keputusan bersara awal ketika usia 45 tahun dan mengambil kursus peralihan selama tiga bulan,” katanya.

Beliau yakin IKS milik Bumiputera mampu bersaing di pasaran tempatan jika dilakukan secara bersungguh-sungguh.

“Memang tidak ramai yang menceburi industri menghasilkan air berkarbonat menggunakan herba stevia.

“Hasil promosi berterusan, permintaan terhadap produk minuman berkarbonat berasaskan herba stevia memang banyak,” katanya yang turut menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Setakat ini, syarikat itu mengeluarkan enam perisa minuman stevia iaitu oren, anggur, strawberi, sarsi, soda dan kola.

“Pada masa akan datang, syarikat akan mengeluarkan produk sirap stevia bagi pasaran sekolah bagi membantu mengurangkan diabetis dan obesiti,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21
 
Sumber:  http://www.hmetro.com.my/

No comments:

Post a Comment